INISIATIF KERAJAAN DALAM MEMBASMI KEMISKINAN
Isu kemiskinan mula diketengahkan sebagai satu isu
pembangunan negara pada tahun 1971 yang juga dikenali sebagai era Dasar Ekonomi
Baru (DEB) yang dimulakan dengan Rangka Rancangan Jangka Panjang Pertama (RRJP1).
Matlamat DEB ialah untuk mencapai perpaduan negara dan integrasi nasional bagi
mencapai dua matlamat utama iaitu:
I.
Pengurangan dan akhirnya
membasmi kemiskinan dengan meningkatkan pendapatan dan menambah peluang
pekerjaan untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum
II.
Mempercepat proses penyusunan
semula masyarakat Malaysia untuk membetul ketidakseimbangan ekonomi supaya
dapat mengurang dan seterusnya menghapuskan pengenalan kaum mengikut fungsi
ekonomi.
Dalam Dasar Ekonomi Baru, strategi anti kemiskinan yang
utama termasuk pertama meningkatkan produktiviti dan pendapatan mereka yang
terlibat dalam aktiviti berpendapatan rendah melalui teknik moden dan kemudahan
yang lebih baik. Strategi kedua pula ialah meningkatkan peluang untuk
pergerakan antara sektor, iaitu daripada aktiviti yang mempunyai produktiviti
rendah kepada aktiviti yang mempunyai produktiviti yang lebih tinggi termasuk
perdagangan, industri dan aktiviti moden serta peruntukan sosial dan bantuan
teknikal, pendidikan dan peluang latihan, serta penyusunan organisasi untuk
memudahkan perpindahan ke sektor moden.
Stratergi terakhir ialah menyediakan subsidi perkhidmatan
sosial terutama dalam meningkatkan taraf hidup kumpulan berpendapatan rendah. Perkhidmatan
ini termasuk projek perumahan, subsidi kadar elektrik, air dan pengangkutan,
kesihatan dan perkhidmatan perubatan, meningkatkan peluang pendidikan,
kemudahan rekreasi dan komuniti.
Selepas tamatnya era DEB, maka negara telah melangkah ke
era Dasar Pembangunan Nasional (DPN) yang dimulakan dengan Rangka Rancangan
Jangka Panjang Kedua (RRJP2). DPN masih mengamalkan teras DEB untuk membasmi
kemiskinan dan menyusun semula masyarakat. Matlamat DPN adalah untuk mencapai
pembangunan yang seimbang bagi mewujudkan masyarakat yang lebih bersatu padu
dan adil. Penekanan utama bagi mencapai matlamat pengagihan di bawah RRJP2
terutama sekali yang berkaitan dengan kemiskinan, adalah kepada pembasmian
kemiskinan golongan termiskin dan mengurangkan kemiskinan relatif.
No comments:
Post a Comment