FAKTOR-FAKTOR KEMISKINAN DI KALANGAN MASYARAKAT
Terdapat
beberapa faktor yang menyebabkan di bandar berlaku. Antara faktor-faktornya
ialah kurangnya peluang pekerjaan, tahap pendidikan yang rendah, saiz isi rumah
yang besar dan faktor krisis ekonomi. Kurangnya peluang pekerjaan di kawasan
bandar adalah disebabkan penawaran buruh adalah melebihi permintaan. Sektor
formal tidak dapat menyerap lebihan penawaran buruh ini yang kebanyakkannya
merupakan golongan yang bermigrasi dari luar bandar ke bandar dengan harapan
kawasan di bandar akan menawarkan peluang pekerjaan. Namun sebaliknya berlaku
iaitu apabila pelaun pekerjaan di bandar adalah kurang, maka golongan berhijrah
ini akan menganggur dan jika bernasib baik pun, golongan ini akan terlibat di
pekerjaan sektor tidak formal (STF).
1) LUNTUR DIDIKAN
AGAMA
Dalam era globalisasi masa kini antara punca
berlakunya ketidakprihatinan dalam kalangan masyarakat ialah kurangnya didikan
agama dalam diri seseorang.Jika dalam diri tidak mempunyai sifat belas kasihan
dan membantu seperti yang dianjurkan dalam konsep Islam, sudah semestinya
golongan tersebut akan terus berada dalam kesempitan hidup untuk meneruskan
kehidupan yang sangat mencabar. Sebagai contoh, kewangan yang tidak stabil
untuk membeli makanan, pakaian dan lain-lain lagi. Dalam setiap agama tidak
kira Islam, Hindu atau agama lain perlu mempunyai sifat menyayangi dan suka
membantu golongan yang memerlukan.
Jika masyarakat tidak mendalami agama
masing-masing akan menyebabkan diri seseorang akan terus hidup dalam ketamakan
dari segi wang, pangkat dan sentiasa mengejar keduniaan sahaja tanpa
mempedulikan golongan bawahan yang hidup adakala merempat dan tiada hala tuju.
Kesannya, segelintir golongan yang miskin akan bertindak melakukan
perkara-perkara yang tidak sepatutnya seperti mereka terpaksa mencuri duit atau
makanan untuk meneruskan kelangsungan hidup disebabkan tiada sesiapa yang sudi
membantu. Adakah kita sebagai masyarakat ingin perkara seperti ini berlaku?
Selain itu, perhatian yang khusus dan berterusan
kurang dipraktikkan oleh semua pihak terhadap golongan tersebut yang amat
memerlukan pembelaan yang sewajarnya. Kehidupan golongan ini dibiarkan begitu
sahaja disamping masyarakat tidak
memainkan peranan iaitu bersama-ama menggembleng tenaga dengan memberikan sumbangan
dan sokongan moral dalam membantu menangani permasalahan yang berlaku tidak
diterapkan.
Tambahan pula, kebanyakan masyarakat juga suka
menghitung kepentingan diri sendiri tanpa mengambil tahu kesusahan golongan
disekelilingnya. Kebiasaan punca sebeginilah yang menjadikan seseorang itu tidak
melahirkan sifat bantu-membantu dalam diri. Bagi merealisasikan konsep
masyarakat yang penyayang, sikap sebegini perlu diubah. Keseimbangan dalam
memenuhi keperluan diri dan masyarakat sekitar hendaklah dipraktikkan dalam
kegiatan hidup seharian.
2) KETIDAKPRIHATINAN
PEMERINTAH
Kerajaan memainkan peranan yang sangat penting dalam
meningkatkan ekonomi sesebuah Negara. Peranan-peranan pemerintah adalah untuk
memerhatikan keadaan ekonomi,social, budaya golongan sederhana dan golongan
yang kurang bernasib baik. Pemerintah yang kurang peka terhahap pertumbuhan
masyarakat miskin dapat menjadi salah satu faktor kemiskinan. Pemerintah tidak
membuat tindakan yang mampu mengurangkan kemiskinan di Negara ni. Golongan
sederhana ialah golongan yang mempunyai pendapatan yang sederhana dan
tanggungan yang banyak.
Manakala, golongan miskin ialah golongan yang kurang mampu
untuk menyara kos hidup pada negara yang menuju ke arah era globalisasi.
Golongan ini bergantung kepada pihak kerajaan untuk medapatkan perhatian sepenuhnya
kepada mereka untuk menampung kos sara hidup semasa. Disebabkan
ketidakprihatinan pemerintah kadar penganguran di Malaysia semakin meningkat
samada di bandar mahupun di luar bandar.
Jika diteliti secara mendalam, hampir setiap kawasan
perumahan dan tempat awam terdapat sekurang-kurangannya 2 -3 peminta sedekah.
Ini menunjukkan pemerhatian kerajaan terhadap golongan yang memerlukan dan
kurang bernasib baik sebegini tidak mencukupi dan menyebabkan mereka disisihkan
oleh masyarakat setempat.
3) KOS SARA HIDUP YANG TINGGI
Pendapatan yang sedikit berbanding dengan kos sara hidup
yang tinggi menyebabkan penduduk bandar sukar untuk mendapatkan keperluan asas
dengan sempurna. Keperluan asas yang dimaksudkan merangkumi bahan makanan dan
minuman, pakaian dan tempat tinggal. Ini menyebabkan taraf hidup penduduk
bandar terjejas dan meningkatkan jumlah kemiskinan di dalam bandar sehingga
mereka sanggup menyewakan rumah mereka dan memilih untuk tinggal di kawasan
setinggan yang lebih murah. Walaupun kebanyakan pendapatan penduduk bandar
tidak dikategorikan sebagai golongan pendapatan rendah.
Namun begitu,
pendapatan mereka adalah tidak seimbang dengan perbelanjaan. Ini disebabkan kos
hidup bandar adalah tinggi dan membebankan. Kos hidup bandar pula amat
dipengaruhi oleh pelbagai aspek. Terutamanya ialah inflasi. Kadar inflasi 3.9%
pada tahun 2009 telah meningkat kos hidup bandar dan seterusnya mempengaruhi
kadar kemiskinan.Berikutan kesan kejatuhan nilai matawang Ringgit dan kenaikan
harga barangan dan perkhidmatan semasa, boleh sifatkan angka yang dikemukakan
ini tidak menunjukkan realiti sebenar kemiskinan yang dihadapi oleh masyarakat.
Berdasarkan kepada penyiasatan pendapatan dan perbelanjaan
isi rumah tahun 2014, purata pendapatan garis kemiskinan untuk Malaysia secara
keseluruhan adalah RM950 untuk miskin dan RM600 untuk miskin tegar.Merujuk
kepada item keperluan asas ‘bukan makanan’ yang disenaraikan – pakaian; sewa,
minyak, elektrik; perkhidmatan asas; pengangkutan dan komunikasi; dan lain-lain
– sahaja pun, jelas bahawa adalah tidak munasabah nilai RM950 dijadikan garis
pemisah untuk membezakan golongan berkemampuan dan tidak berkemampuan.Indikator
yang menentukan angka ini ialah pendapatan garis kemiskinan (PGK) iaitu
pendapatan yang mencukupi bagi membolehkan isi rumah tersebut memenuhi
keperluan asas dari segi makanan dan bukan makanan yang membolehkan setiap
ahlinya berfungsi di dalam masyarakat.
Ini kerana, berdasarkan data yang dikeluarkan oleh Jabatan
Penerangan Malaysia ketika membuat penerangan tentang kewajaran rasionalisasi
subsidi minyak, menyatakan bahawa golongan berpendapatan rendah menggunakan
minimum 150 liter iaitu membelanjakan RM307.50 sebulan untuk penggunaan petrol
(RON95). Ia kemungkinan meningkat lagi kepada RM322.50 pada bulan hadapan apabila
diunjurkan harga petrol itu bagi Jun 2015 ialah RM2.15 seliter.Dalam suatu
kajian membandingkan harga sewa bulanan rumah, mendapati ia bernilai RM700 di
Kuala Lumpur, RM500 di Klang, RM400 di Kuala Terengganu, RM800 di Kuching,
RM600 di Johor Bahru, dan RM350 di Alor Setar atau secara puratanya ialah RM560
sebulan. Boleh dikatakan tiada lagi harga sewa bulanan rumah berada di bawah
paras RM350 apatah lagi RM180.
4) MIGRASI
Kemiskinan di Malaysia adalah lebih dominan sebagai satu
fenomena di kawasan luar bandar. Namun begitu seperti negara sedang membangun
yang lain, terdapat kecenderungan kemiskinan bandar berlaku. Perbandaran
ataupun bandar boleh ditakrifkan sebagai satu penumpuan penduduk yang mendiami
kawasan dengan jumlah yang besar dan mempunyai pelbagai kemudahan infrastruktur
yang lebih lengkap berbanding dengan kawasan-kawasan lain. Golongan yang miskin
di bandar merangkumi migran dari kawasan luar bandar, warga asing yang mencari
pekerjaan, golongan yang bekerja di sektor tidak formal dan golongan yang
menganggur. Mereka selalunya terpengaruh dengan pekerjaan yang tidak terjamin,
pencemaran, keganasan, jenayah dan kurangnya rangkaian sosial.
Migrasi penduduk dari luar bandar ke bandar, kebanjiran
warganegara asing samaada secara sah atau tidak serta pertumbuhan semulajadi
penduduk telah menyebabkan berlaku peningkatan penduduk dengan mendadak
terutamanya di kawasan bandar.Jangkaan perumahan di Kuala Lumpur khususnya di
jangka semakin meningkat ekoran daripada peningkatan jumlah penduduk. Peningkatan
jumlah penduduk ini telah menyebabkan taraf pendapatan sesebuah isi rumah
meningkat.
Kesan daripada peningkatan penduduk ini juga menyebabkan terdapat
segelintir golongan masyarakat yang memilih untuk tinggal di kawasan setinggan
agar rumah yang dimiliki dapat disewa bagi menampung keperluan ataupun menambah
pendapatan mereka. Ini adalah disebabkan
kerana bandar dipercayai mempunyai lebih banyak peluang-peluang pekerjaan
berbanding tempat asal.
Namun, peningkatan penduduk yang tinggi di kawasan bandar
ini secara relatifnya tidak dapat diserap oleh penawaran sektor pekerjaan
formal di kawasan bandar. Ini menyebabkan lebihan penduduk yang tidak dapat
pekerjaan ini bekerja di sektor tidak formal dengan jumlah pendapatan yang
kecil berbanding peningkatan taraf hidup yang semakin membebankan.
5) TAHAP PENDIDIKAN YANG
RENDAH
Dari segi tahap pendidikan yang rendah menyebabkan golongan
ini tidak dapat pekerjaan yang menawarkan tahap pendapatan yang tinggi.
Akibatnya mereka akan melibatkan diri di dalam STF yang menggunakan tahap
pendidikan dan kemahiran yang rendah. Kesan paling teruk akibat tahap
pendidikan yang rendah ini ialah dari segi penglibatan golongan ini dalam
melakukan jenayah di bandar kerana terdesak untuk meneruskan kehidupan.
Menurut
kajian kerajaan, kadar buta huruf di kawasan luar bandar adalah lebih tinggi
berbanding dengan kawasan bandar. Keadaan ini menyebabkan penduduk luar bandar
yang berpendidikan rendah tidaak berupaya untuk mendapatkan pekerjaan yang
mampu meningkatkan taraf hidup. Kadar kemiskinan luar bandar sukar untuk
dibanteras dengan kekurangan golongan professional di antara penduduk luar
bandar.
6) SAIZ ISI RUMAH YANG BESAR
Saiz isi rumah yang besar ini menjadi masalah kerana dengan
pendapatan yang kecil dan hanya beberapa ahli keluarga yang bekerja, maka
keperluan isi rumah tidak dapat dipenuhi dengan sempurna. Layanan yang berbeza
akan dihadapi iaitu layanan adalah lebih baik bagi saiz isi rumah yang kecil
berbanding dengan saiz isi rumah yang besar.
Selain daripada itu, walaupun
didapati terdapatnya penyediaan kawasan perumahan kos rendah, namun kawasan
perumahan ini dilihat tidak mampu menampung segelintir jumlah isi rumah bagi
satu keluarga. Ini menyebabkan kawasan perumahan kos rendah ini terutamanya
dalam bentuk kawasan perumahan flat dilihat padat. Kepadatan ini selalunya akan
menyebabkan masalah pencemaran alam sekitar dan juga masalah-masalah sosial
seperti penagihan dadah dan pecah rumah.
7) KEKURANGAN PELUANG PEKERJAAN
Kekurangan peluang pekerjaan menyebabkan perebutan
pekerjaan di bandar merupakan fenomena yang kian berlaku di bandar-bandar
Malaysia. Majikan zaman kini bergemar untuk mengupah pekerja asing untuk
menjimatkan kos. Pasaran buruh kini telah dibanjiri oleh pekerja-pekerja asing
yang dikatakan murah. Terutamanya dalam sektor peridustrian dan pembinaan.
Pekerja tempatan yang meminta gaji tinggi adalah kurang berdaya saing berbanding
dengan pekerja asing.
Kebanyakan pekerjaan di luar bandar adalah tertakluk kepada
sektor pertanian. Sementara itu, pelaksanaan pemodenan dalam sektor pertanian
adalah kurang menyeluruh. Daya pengeluaran yang kurang lumayan menyebabkan
keadaan kemiskinan luar bandar tidak dapat diubah. Eksploitasi dan monopoli
orang tengah, kelaparan tanah, tanah yang tidak ekonomik juga dikatakan antara
penyebab kepada kemiskinan di luar bandar.
8) KRISIS EKONOMI
Faktor krisis ekonomi yang melanda sesebuah negara akan
menyebabkan golongan miskin sengsara. Ini adalah kerana apabila krisis ekonomi
berlaku maka ramai golongan yang terbabit dalam sektor perkilangan akan dibuang
kerja. Hal ini akan menyebabkan mereka menganggur tapi dalam masa yang sama
perlu menanggung bilangan ahli keluarga yang sangat ramai. Di samping itu,
krisis ekonomi juga akan menyebabkan inflasi meningkat. Peningkatan inflasi ini
akan menyebabkan golongan miskin terutamanya di bandar menderita kerana
barang-barang keperluan seperti makanan menjadi mahal relatif dengan jumlah
pendapatan yang kecil dan bilangan ahli keluarga yang besar perlu ditanggung.
No comments:
Post a Comment